Sabtu, 2 Mei 2009

Rangsang Otak Anak

Ibu bapa mesti ransang otak anak

SEMUA bayi dilahirkan cerdik, namun perkembangan kecerdikan kanak-kanak tertakluk kepada kebijaksanaan ibu bapa untuk meletakkan anak mereka pada tahap terbaik atau sebaliknya.

Membentuk keperibadian dan kepandaian anak sama seperti membina bangunan. Perlu ada perancangan, pelan dan cara melaksanakannya yang mesti dilakukan dengan teliti dan sabar seawal mungkin.

Namun, perkara inilah kebanyakan ibu bapa terlepas pandang. Bahkan, ramai beranggapan kanak-kanak membesar secara ‘semula jadi’ dan anggapan inilah yang membuatkan kehidupan awal anak, terutama sebelum melangkah ke alam persekolahan, berlalu tanpa dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Perunding Program dan Pelatih Pendidikan Awal Kanak-kanak, A Arunatheym, berkata kanak-kanak tanpa mengira bangsa atau kedudukan dianugerahkan dengan kecerdikan sama, tetapi ia perlu dibentuk dan dilatih dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, ibu bapa seharusnya menjadi guru pertama kepada anak sendiri, malangnya kebanyakan mereka tidak memainkan fungsi secukupnya, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada guru di sekolah.

“Ramai tidak percaya jika saya kata kanak-kanak boleh membaca pada umur dua tahun kerana bagi mereka ketika itu baru belajar bercakap. Ia bukan perkara mustahil, asalkan ibu bapa sanggup luangkan masa mengajar mereka.

“Kajian sains membuktikan kanak-kanak yang diberi rangsangan sejak bayi mempunyai perkembangan mental lebih baik kerana pada peringkat ini otak mereka boleh menerima segala bentuk pendidikan. Lebih muda umur seseorang, kebolehannya untuk belajar lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ceramah Bagaimana Membesarkan Anak Yang Bijak dan Kreatif anjuran Pusat Perubatan Selangor (SMC) dengan kerjasama AOJ Enterprise.

Enam perkara perlu dilakukan setiap ibu bapa iaitu mengenali anak (tahu warna, makanan atau permainan kegemaran mereka), memberi pujian setiap kali anak melakukan kebaikan, memerhatikan kecenderungan anak belajar, bina ikatan kasih sayang melalui perlakuan seperti memeluk, memberi kasih sayang dan perhatian serta memenuhi keperluan emosinya.

Sekarang cuba kaitkan senarai di atas dengan hubungan anda dan anak. Sudahkah anda memuji, memeluk, mencium, meluangkan masa bercakap dan bermain dengan anak?

Jika belum atau tidak pernah, masih belum terlambat untuk memulakannya.

Arunatheym berkata, kebanyakan ibu bapa miskin pujian untuk anak walaupun berkali-kali mereka melakukan kebaikan, sebaliknya mudah mengkritik jika ada kesilapan.

Perkara ini perlu diubah kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada minda kanak-kanak.

“Keperluan setiap anak tidak sama, mempunyai keupayaan tersendiri dan minat berbeza. Jangan samakan atau cuba membandingkan mereka. Lumrahnya, kanak-kanak memang aktif dan tidak boleh duduk diam, tetapi ia bukan bermakna mereka nakal, sebaliknya mereka ada banyak tenaga untuk digunakan.

“Tenaga ini sepatutnya kita manfaatkan sebaik-baiknya, terutama pada usia antara satu hingga tiga tahun. Masa inilah yang sesuai untuk mengajar sebanyak mungkin, termasuk membaca. Jangan hadkan aktiviti anak kerana ia akan menyekat perkembangan otak mereka,” katanya.

Prinsipnya mudah saja; semakin muda umur seseorang semakin mudah mereka menerima pelajaran.

Kajian menunjukkan otak berkembang dengan penggunaan — maksudnya jika lebih banyak rangsangan diberi, minda anak menjadi semakin cekap.

Malangnya, ramai ibu bapa terlepas pandang perkara ini. Bukan saja mereka tidak membantu perkembangan otak anak, malah ada yang menyerahkan bulat-bulat tugas menjaga dan mendidik anak kepada pembantu rumah.

Saiz otak

Keupayaan otak kanak-kanak sebenarnya sangat mengagumkan. Ketika lahir, saiz otak hanya 25 peratus berbanding orang dewasa dan meningkat kepada 50 peratus (18 bulan) dan 90 peratus apabila meningkat enam tahun. Jadi dalam usia yang muda ini, otak yang dalam fasa ‘penyerapan’ perlu dirangsang kerana keupayaan mereka menerima ilmu sangat tinggi.

Keupayaan belajar menurun dengan peningkatan umur. Pada usia lima tahun, kanak-kanak mempunyai darjah kecerdasan sehingga 98 peratus, berkurang kepada 30 peratus (10 tahun), 12 peratus (15 tahun) dan dua peratus apabila dewasa.

Inilah sebabnya orang dewasa lebih sukar dan lambat belajar bahasa berbanding kanak-kanak.

Untuk membolehkan anak membaca seawal usia dua tahun, ibu bapa perlu memulakan rangsangan dengan penggunaan kad imbas. Langkah pertama; imbasan kad yang mempunyai gambar objek berwarna hitam dan putih pada umur tiga bulan.

Langkah kedua, menayangkan kad imbas satu perkataan, diikuti dua perkataan, frasa pendek dan ayat. Kad imbas ini boleh dibuat sendiri dengan menulis atas kad bod putih dengan tulisan berwarna terang.

Sebut perkataan yang tertulis di atas kad dan tayangkan beberapa saat di depan anak. Ulang proses ini sehingga semua kad diimbaskan dan ulang tiga kali sehari tanpa jemu.

Namun, kejayaan ini terletak pada empat kunci asas iaitu kekerapan, intensif, tempoh pembelajaran dan keseronokan ketika belajar baik pada anak mahupun ibu bapa sendiri.

“Mengajar abjad a, b, c juga cara yang baik, tetapi abjad ini tidak memberi makna kepada anak berbanding perkataan. Jadi, anak secara tidak langsung akan memahami perkataan yang ada pada kad imbas tadi mempunyai makna tertentu.

“Paling penting adalah komitmen ibu bapa. Memang diakui ramai tidak sabar mengajar, tetapi beberapa saat setiap hari bukan perkara membebankan. Malah, ia boleh menjadi aktiviti menyeronokkan dan merapatkan hubungan antara ibu dan anak,” katanya.

Malah, seni lukis juga sebenarnya penting untuk meningkatkan kecerdasan anak.

Namun, perkara paling penting yang perlu ditanamkan kepada anak adalah kepercayaan terhadap Tuhan kerana ia sebenarnya secara tidak langsung boleh meningkatkan ketahanan mental.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan