Memaparkan catatan dengan label Parenting. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parenting. Papar semua catatan

Sabtu, 2 Mei 2009

Rangsang Otak Anak

Ibu bapa mesti ransang otak anak

SEMUA bayi dilahirkan cerdik, namun perkembangan kecerdikan kanak-kanak tertakluk kepada kebijaksanaan ibu bapa untuk meletakkan anak mereka pada tahap terbaik atau sebaliknya.

Membentuk keperibadian dan kepandaian anak sama seperti membina bangunan. Perlu ada perancangan, pelan dan cara melaksanakannya yang mesti dilakukan dengan teliti dan sabar seawal mungkin.

Namun, perkara inilah kebanyakan ibu bapa terlepas pandang. Bahkan, ramai beranggapan kanak-kanak membesar secara ‘semula jadi’ dan anggapan inilah yang membuatkan kehidupan awal anak, terutama sebelum melangkah ke alam persekolahan, berlalu tanpa dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Perunding Program dan Pelatih Pendidikan Awal Kanak-kanak, A Arunatheym, berkata kanak-kanak tanpa mengira bangsa atau kedudukan dianugerahkan dengan kecerdikan sama, tetapi ia perlu dibentuk dan dilatih dengan bersungguh-sungguh.

Katanya, ibu bapa seharusnya menjadi guru pertama kepada anak sendiri, malangnya kebanyakan mereka tidak memainkan fungsi secukupnya, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada guru di sekolah.

“Ramai tidak percaya jika saya kata kanak-kanak boleh membaca pada umur dua tahun kerana bagi mereka ketika itu baru belajar bercakap. Ia bukan perkara mustahil, asalkan ibu bapa sanggup luangkan masa mengajar mereka.

“Kajian sains membuktikan kanak-kanak yang diberi rangsangan sejak bayi mempunyai perkembangan mental lebih baik kerana pada peringkat ini otak mereka boleh menerima segala bentuk pendidikan. Lebih muda umur seseorang, kebolehannya untuk belajar lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ceramah Bagaimana Membesarkan Anak Yang Bijak dan Kreatif anjuran Pusat Perubatan Selangor (SMC) dengan kerjasama AOJ Enterprise.

Enam perkara perlu dilakukan setiap ibu bapa iaitu mengenali anak (tahu warna, makanan atau permainan kegemaran mereka), memberi pujian setiap kali anak melakukan kebaikan, memerhatikan kecenderungan anak belajar, bina ikatan kasih sayang melalui perlakuan seperti memeluk, memberi kasih sayang dan perhatian serta memenuhi keperluan emosinya.

Sekarang cuba kaitkan senarai di atas dengan hubungan anda dan anak. Sudahkah anda memuji, memeluk, mencium, meluangkan masa bercakap dan bermain dengan anak?

Jika belum atau tidak pernah, masih belum terlambat untuk memulakannya.

Arunatheym berkata, kebanyakan ibu bapa miskin pujian untuk anak walaupun berkali-kali mereka melakukan kebaikan, sebaliknya mudah mengkritik jika ada kesilapan.

Perkara ini perlu diubah kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada minda kanak-kanak.

“Keperluan setiap anak tidak sama, mempunyai keupayaan tersendiri dan minat berbeza. Jangan samakan atau cuba membandingkan mereka. Lumrahnya, kanak-kanak memang aktif dan tidak boleh duduk diam, tetapi ia bukan bermakna mereka nakal, sebaliknya mereka ada banyak tenaga untuk digunakan.

“Tenaga ini sepatutnya kita manfaatkan sebaik-baiknya, terutama pada usia antara satu hingga tiga tahun. Masa inilah yang sesuai untuk mengajar sebanyak mungkin, termasuk membaca. Jangan hadkan aktiviti anak kerana ia akan menyekat perkembangan otak mereka,” katanya.

Prinsipnya mudah saja; semakin muda umur seseorang semakin mudah mereka menerima pelajaran.

Kajian menunjukkan otak berkembang dengan penggunaan — maksudnya jika lebih banyak rangsangan diberi, minda anak menjadi semakin cekap.

Malangnya, ramai ibu bapa terlepas pandang perkara ini. Bukan saja mereka tidak membantu perkembangan otak anak, malah ada yang menyerahkan bulat-bulat tugas menjaga dan mendidik anak kepada pembantu rumah.

Saiz otak

Keupayaan otak kanak-kanak sebenarnya sangat mengagumkan. Ketika lahir, saiz otak hanya 25 peratus berbanding orang dewasa dan meningkat kepada 50 peratus (18 bulan) dan 90 peratus apabila meningkat enam tahun. Jadi dalam usia yang muda ini, otak yang dalam fasa ‘penyerapan’ perlu dirangsang kerana keupayaan mereka menerima ilmu sangat tinggi.

Keupayaan belajar menurun dengan peningkatan umur. Pada usia lima tahun, kanak-kanak mempunyai darjah kecerdasan sehingga 98 peratus, berkurang kepada 30 peratus (10 tahun), 12 peratus (15 tahun) dan dua peratus apabila dewasa.

Inilah sebabnya orang dewasa lebih sukar dan lambat belajar bahasa berbanding kanak-kanak.

Untuk membolehkan anak membaca seawal usia dua tahun, ibu bapa perlu memulakan rangsangan dengan penggunaan kad imbas. Langkah pertama; imbasan kad yang mempunyai gambar objek berwarna hitam dan putih pada umur tiga bulan.

Langkah kedua, menayangkan kad imbas satu perkataan, diikuti dua perkataan, frasa pendek dan ayat. Kad imbas ini boleh dibuat sendiri dengan menulis atas kad bod putih dengan tulisan berwarna terang.

Sebut perkataan yang tertulis di atas kad dan tayangkan beberapa saat di depan anak. Ulang proses ini sehingga semua kad diimbaskan dan ulang tiga kali sehari tanpa jemu.

Namun, kejayaan ini terletak pada empat kunci asas iaitu kekerapan, intensif, tempoh pembelajaran dan keseronokan ketika belajar baik pada anak mahupun ibu bapa sendiri.

“Mengajar abjad a, b, c juga cara yang baik, tetapi abjad ini tidak memberi makna kepada anak berbanding perkataan. Jadi, anak secara tidak langsung akan memahami perkataan yang ada pada kad imbas tadi mempunyai makna tertentu.

“Paling penting adalah komitmen ibu bapa. Memang diakui ramai tidak sabar mengajar, tetapi beberapa saat setiap hari bukan perkara membebankan. Malah, ia boleh menjadi aktiviti menyeronokkan dan merapatkan hubungan antara ibu dan anak,” katanya.

Malah, seni lukis juga sebenarnya penting untuk meningkatkan kecerdasan anak.

Namun, perkara paling penting yang perlu ditanamkan kepada anak adalah kepercayaan terhadap Tuhan kerana ia sebenarnya secara tidak langsung boleh meningkatkan ketahanan mental.

13 petua berkomunikasi dengan anak

1. Jangan perkecilkan kebolehan anak kerana setiap anak adalah dilahirkan sebagai insan yang cemerlang
2. Jangan cakap perkataan yang negatif terhadap anak
3. Padam rekod lama yang terprogram dalam fikiran anak. Cth: Ibubapa pernah terlepas cakap mengatakan bahawa anak itu bodoh, malas, etc..Jadi ibubapa harus meminta maaf, mengaku kesilapan mereka & beri kata2 yg positif terhadap anak tersebut
4. Banyakkan belaian positif seperti memberi hadiah, puji2an, pelukan dan ciuman
5. Dengar dengan aktif & teliti setiap tindak tanduk/ emosi anak
6. Guna teknik penyampaian berkesan ketika berkomunikasi dgn anak2
a) Cakap dgn khusus & jelas setiap arahan & keinginan kita
b) Nyatakan serta merta & bukan memendam perasaan. Cth: Kesilapan ditegur dengan serta merta
7. Selesaikan semua masalah dalam rumahtangga secara bersama (syura)
8. Nyatakan TIDAK BOLEH/ tentangan kita terhadap anak secara hikmah. Berikan alasan yang munasabah & nyatakan alternatif lain
9. Tunjukkan penghormatan & pamerkan kasih sayang terhadap anak2
10.Disiplinkan anak secara hikmah - ganjaran atau hukuman yang setimpal
11.Tindak-tanduk ibubapa haruslah selaras dengan dengan kata2 mereka (cakap serupa bikin)
12.Layan/ berkomunikasi dengan anak secara berbeza2 mengikut peribadi/ keadaan mereka
13.Doa secara khusus supaya dapat meransang komunikasi kita dgn anak
a) Baiki hubungan dgn ALLAH supaya dpt baiki hubungan sesama manusia
b) Apa yang ibubapa fikir adalah DOA
c) Apa yang ibubapa sebut adalah DOA
D) Apa yang diulang2 selalu akan jadi realiti

Isnin, 2 Februari 2009

Cara baru rangsang anak belajar-sumber Hmetro online

PAKAR perkembangan bayi percaya tahun pertama ke hidupan bayi tempoh utama berlakunya proses pembelajaran. Tidak perlu muzik klasik, alat pembelajaran bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah individu di sekeliling si kecil itu. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama antara interaksi harian yang lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar memikirkan cara baru merangsang anak kecil (terutama sekali apabila si ibu atau bapa tidak tidur malam kerana meredakan tangisannya).

Berikut antara aktiviti menarik (berdasarkan sains) yang disarankan:

1. Bertentang mata. Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah pada awal usia malah setiap kali dia merenung individu di hadapannya, dia sedang membina memorinya.


2. Bercakap-cakap dengannya. Walaupun reaksi yang di berikan rupa keliru dan hairan, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. La ma-kelamaan, dia akan dapat menangkap rentak perbualan dan mengisi ruang kosong yang dibiarkan senyap itu.

3. Jika boleh, beri susu badan dan lakukan selama mana yang anda boleh. Berdasarkan fakta, kanak-kanak yang diberi susu badan mempunyai tahap kecerdasan tinggi.

Tambahan pula, susuan badan dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

4. Jelirkan lidah. Kajian menunjukkan bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah pada awal usia.

5. Hasilkan buku binatang. Sekiranya melawat taman haiwan atau zoo, ambillah gambar haiwan kesukaannya untuk di jadikan album.

Kemudian, baca buku itu bersama si kecil sambil me namakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi dan cerita haiwan.

6. Geletek si bayi pada keseluruhan tubuhnya. Ketawa langkah pertama dalam perkembangan humor bayi. Per mainan seperti ‘cak cekur’ dan ‘labah-labah panjat perigi’ dapat mengajar anak menjangka apa yang bakal berlaku.

7. Tunjukkan perbezaan. Pegang dua keping gambar be berapa meter dari muka si kecil. Gambar itu seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin satu ada pokok dan satu lagi tiada).

Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8. Berkongsi pandangan. Bawa bayi berjalan-jalan dan beritahu semua perkara yang dilihat padanya. Cara itu boleh menyediakan bayi dengan sebanyak mungkin perbenda haraan kata.

9. Nyanyikan lagu untuknya. Kajian menunjukkan mem pelajari ritma muzik ada kaitan dengan pembelajaran ma tematik.

10. Gunakan masa menukar lampin sepenuhnya. Gunakan waktu itu untuk mengajar bahagian badan atau pakaian.

11. Beri kata kunci. Jika anda berkata; “Mak nak buka lampu ni,” sebelum menekan suis, si kecil itu diajar sebab dan akibat sesuatu perkara.

12. Beri kejutan. Sesekali, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan sambil melihat reaksinya.

13. Sediakan banyak tisu. Jika bayi suka bermain dengan tisu, biarkan. Dengan hanya beberapa sen, ia boleh dijadikan alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil pada bawah tisu dan biarkan dia mencari.

14. Baca buku berulang kali. Saintis mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan serta mem bantunya mempelajari bahasa.

15. Main sorok-sorok yang boleh membuatkannya ketawa. Bayi belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kem bali.

16. Main dengan warna. Pilih satu warna dan suruh si bayi cari objek lain yang sama warna sewaktu berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh dia memilih warna untuk anda pula mencarinya.

17. Biarkan dia bermain dengan makanannya. Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur berbeza termasuk kacang pis dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

18. Jangan lupa rehat. Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk atas lantai bersama bayi tanpa muzik, cahaya terang serta mainan. Biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

Tip mendidik anak

Mendidik anak adalah satu tanggungjawab kepada kedua ibubapa dan anak ini adalah anugerah daripada ALLAH dan merupakan satu amanah.

Tip mendidik anak

1) Bersikap sabar
2) Hendaklah mendidik anak-anak dengan tegas sewaktu mereka kecil
3) Hendaklah suami isteri saling bertolak ansur dalam mendidik anak-anak
4) Tunjukkan contoh yang baik pada anak-anak
5) Didiklah anak-anak dengan penuh keikhlasan
6) Amalkan selalu doa-doa yang diamalkan oleh nabi-nabi terdahulu..contohnya


Doa Nabi Ibrahim dalam surah Ash-Shaffat ayat 100 yang bermaksud :

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku ( seorang anak ) yang termasuk orang-orang yang soleh"

Doa dalam surah Ibrahim ayat 40-41 yang bermaksud:

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami perkenankanlah doaku,Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan doa kedua ibubapaku dan sekelian orang mukmin pada hari terjadinya hisab ( hari Kiamat )"

Doa Nabi Sulaiman dalam surah An-Naml ayat 19 yang bermaksud:

"Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepada dua orang ibubapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh"